jump to navigation

Falsafah

Falsafah Pendidikan Negara

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.

Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

Falsafah Pendidikan Islam

Pendidikan Islam adalah satu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran, dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Qur‘an dan As-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian, dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar, dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.

Falsafah Pendidikan PASTI

Pendidikan PASTI merupakan satu usaha bersepadu dan berterusan ke arah melahirkan generasi tunas Islam yang unggul dari aspek sahsiah, keilmuan, dan amalan-amalan yang bertunjangkan kepada Islam, Iman, dan Ihsan.

Mengambil kira potensi dan bakat yang sedia ada, pendidikan PASTI berusaha mengembangkan kemahiran kognitif, psikomotor, bahasa sosio emosi, dan sosial selain kepelbagaian bakat serta kecerdasan yang sedia terpupuk di dalam diri tunas Islam.

Usaha-usaha PASTI menerusi pembentukan peribadi unggul ini bertujuan mempersiapkan diri mereka menjadi warga yang cintakan negara serta berpegang teguh dan mengamalkan cara hidup Islam dalam kehidupan seharian supaya diredhai oleh Allah s.w.t. di dunia dan di akhirat.